Peminat Tomyam

September 23, 2012

Nota Untuk Bakal Mak Mertua (P)

(Versi Bakal Menantu Perempuan)

Assalamualaikum..

Hai Mak..! Opsss...makcik..apa khabar? Harap sihat hendak-Nya. Tujuan saya menulis nota yang tak seberapa formal ini adalah untuk memberi beberapa penjelasan mengenai persediaan secara lahiriah dan batiniah sebelum berlangsungnya pernikahan saya dan anak makcik nanti. Tapi makcik anggap je menulis nota ini macam menulis minit bebas kepada Ketua Pengarah atau KSU sebab betapa susah dan nervousnya nak buat ayat khas untuk makcik tau.

Makcik,

Sepertimana yang makcik telah ketahui (kalau tak tahu pun memang saya nak bagitahu), saya dan anak makcik telah mengenali antara satu sama lain setelah lebih kurang setahun dan sama-sama menyukai. Jadi, kami bercadang untuk meneruskan perhubungan ini selama-lamanya (maknanya nak nikah la..faham-faham je lah dah gatai ni). Sebagai menantu perempuan sulung, saya memang dah sedia maklum dan faham bebeno bahawa majlis yang julung kali bakal diadakan nanti adalah berkonsepkan meriah, gojes, glamer dan kebabom…(maklumlah pertama kali terima menantu)..Tapi..inilah tujuan saya menulis nota ini bagi ‘mengenalpasti’ dan ‘mencadangkan’ beberapa agenda bagi ‘memeriahkan’ lagi majlis kami nanti.

Sebelum saya menerangkan dengan lebih lanjut, sukacitanya saya ingin memaklumkan serba ringkas mengenai latar belakang dan personaliti saya supaya makcik tak dapat darah tinggi dan sakit jantung apabila membaca agenda-agenda yang ingin disenaraikan sebentar lagi . Diharapkan kesihatan makcik bertambah mantap dan hebat selepas membacanya. Insya-Allah. Makcik, saya seorang perempuan yang simple (serba ringkas), sempoi dan agak kedekut. Saya bukanlah seorang perempuan yang suka mekap. Jadi, nanti masa nikah atau kahwin, saya rasa tak nak mekap boleh? Kalau nak nampak berseri jugak, boleh pakai bedak,  lips ice dan sedikit eye linear. Bulu mata palsu, eye shadow, eye bag, eye contact, black eyed peas, tak payahla.. Kan simple je kan makcik. Mekap sendiri je, tak payah upah juru mekap. Lagipun boleh terus solat zuhur dan asar tanpa perlu ambil cuti kecemasan (EL) seperti mana kebanyakan pengantin perempuan buat masa kenduri kahwin sebab leceh nak mekap balik. 

Selain itu, dari segi pakaian, saya nak pakai baju kurung moden biasa yang tak banyak kerawang dan tak banyak labuci.. Saya memang jenis erba ringkas, tak suka serabut.. Paling minimum pun 2 pasang baju sudahla…Tak payah membazir. Tudung pun saya akan beli di pasar malam RM10-RM20 je. Kasut tumit tinggi memang saya tak mampu pakai makcik, sebab saya tak biasa. Mungkin boleh pakai wedges je kalau nak tinggi jugak.

Bagi memberkati majlis pula, saya sarankan kita bagi doorgift berupa benda yang boleh diguna pakai untuk masyarakat sejagat seperti lampu suluh, tuparware, minyak gamat, pengepit kuku, sikat rambut, senduk dan gula-gula. Kebanyakan barang-barang tersebut boleh didapati di kedai RM2 je. Kan dah jimat tu..

Manakala dari segi hiasan dalaman mahupun luaran termasuklah persembahan, saya sarankan bahawa tiada penggunaan pelamin, kalau pengantin nak bergambar dengan keluarga dan sanak saudara pun boleh menggunakan kerusi plastik dan latar belakang gambar pemandangan yang cantik menggunakan pancaran projector kepada skrin putih atau dinding melalui laptop. Boleh google untuk mendapatkan gambar-gambar pemandangan dan hiasan pelamin yang cantik bangat! Projektor boleh pinjam di pejabat-pejabat berdekatan. Dari segi persembahan muzikal, saya sarankan tiada penggunaan sebarang lagu atau muzik yang akan berkumandang walaupun nyanyian nasyid kerana biarlah majlis nanti akan berlangsung dengan tenang dan diberkati oleh-Nya.

Seterusnya, bab jamuan dan kudapan, saya serahkan kepada makcik bulat-bulat sebab saya tahu makan je. Kalau betul-betul makcik nak jimat, saya boleh cadangkan makcik buat kenduri pada bulan puasa. Boleh ke makcik?

Sehubungan dengan itu, segala perhatian dan kerjasama dari pihak makcik amatlah saya hargai. Sebarang kesulitan amatlah dikesali. Sebarang pertanyaan juga boleh diajukan di kaunter pertanyaan atau bolehlah hubungi hospital sakit jiwa jika tekanan darah makcik naik mendadak.

Ok. Bye!

Yang Ikut Suka Hati,
Bakal menantumu.

Baca : Nota Untuk Bakal Mak Mertua (Versi Menantu Lelaki)

2 comments:

Ain bintu Amir said...

hahahahah =))
bump to your blog sebab tgh search pasal 'taknak pakai veil time nikah'. boleh?

byk ayat awak ni kene dgn saya jugak. tapi alhamdulillah bakal family in law faham & simple jugak.

:)

CikTomyam said...

erk..apa kaitan ngan veil?